Di Jalan Rentap, sejurus sebelum memasuki kawasan Taman Susur Jambu, terdapat sawah padi yang diusahakan oleh penduduk setempat. Walaupun tidaklah seluas mana, namun masih ada penduduk setempat yang terlibat bercucuk tanam padi termasuklah Encik Abdul Gani yang merupakan Pengerusi JKKK Jalan Drahman Keria di kampung bersebelahan dengan Kampung Seberang, Sarikei.
Penduduk setempat turut gemar berbudi kepada tanah dan menanam pelbagai jenis tanaman di sekitar kawasan rumah masing-masing. Walaupun hanya sebilangan kecil penduduk yang menjalankan aktiviti pertanian secara komersial di tanah-tanah kebun milik mereka (di luar kawasan kampung), namun mereka tetap menggunakan ilmu pertanian yang sedia ada dan membina kebun-kebun kecil di sekitar kawasan rumah mereka.